Monday, August 26, 2013

~Cinta itu FITRAH~

Dengarkan pesanan abang dan kakakmu ini buat adik-adik perempuan dan lelaki yang baru meningkat belasan tahun serta mula berputik rasa untuk dicintai dan mencintai dengan berlainan jantina,
Sebelum engkau mahu serahkan cintamu kepada sesiapa jua, ingatlah bahawa cinta pertama dan utama dalam dirimu mestilah Allah s.w.t.

Kerencaman budaya maksiat di dunia hari ini tidak menjanjikan kebahagiaan buatmu dengan hanya perasaan jatuh cinta. Sudah berapa banyak anak zina yang lahir dari hubungan yang dimurkai oleh Allah. Sudah berapa banyak bayi tidak berdosa digugurkan dan dilempar ke merata-rata. Sudah berapa banyak wanita yang menjadi korban hubungan terlarang akhirnya ditinggalkan.

Ingatkanlah dirimu dan teman-temanmu bahawa sebelum engkau mahu jatuh cinta dengan sesiapa jua, cinta Allah s.w.t. jangan engkau korbankan.

Jangan dikejar kenikmatan dunia yang bersifat sementara, kelak engkau menyesal kehilangan harga dirimu, menangis pun sudah tidak berlagu.

Berhati-hatilah bila disapa dan ditegur oleh jantina berbeza. Mereka akan mula bertanya tentang khabar dirimu, tentang tempat tinggalmu, tentang pelajaranmu, tentang makan minummu, tentang kesukaanmu. Jika tidak ada keperluan untukmu, maka tidak perlulah dilayan semua itu. Cukuplah berkenalan dengan yang sama jantina dengan kamu. Berapa ramai yang menipu cuma meminta maklumat itu ini dari kamu dengan niat ingin berkawan akhirnya memerangkap kamu dalam jerat maksiat dan dosa.

Bila mereka mengajak kalian berdua-duaan dengan mereka, itu adalah ajakan syaitan dan hindarilah.

Tidak bertemu seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan mahram di tempat yang sunyi dan gelap pula melainkan ada syaitan bersama-sama mereka.

Ingatkanlah temanmu bila mereka mula melalaikan akan hal ini.
Lelaki yang jujur mencintai seseorang perempuan, pergilah melalui ibu ayahnya. Sebelum kalian mempunyai hubungan yang sah, maka ada syariat yang membataskan pergaulan dan perhubungan antara kalian.

Syurga Allah lebih mahal, adik-adik.

Jangan kau korbankan kenikmatan syurga yang kekal abadi itu dengan kebodohan di zaman remaja melunaskan rasa cintamu dengan cara mengundang kemurkaan Allah.

Tidak handsome dan sempoi pun orang yang ada girlfriend.
Tidak juga cantik dan hebat orang yang boyfriend.

Orang yang handsome, cantik, sempoi dan hebat adalah orang yang bersabar dengan nafsunya dan melunaskan rasa cintanya mengikut syariat Allah s.w.t.

Sentiasalah berpesan kepada mereka yang berbangga memiliki couple. Cukuplah selepas bernikah nanti kamu bercouple.

Apakah dengan kamu berhubungan sesama lain jantina sebelum mempunyai hubungan yang sah itu mengundang keredhaan Allah dan akan menyelamatkan kamu di akhirat nanti?

Penuh cinta dari,
Abang dan Kakakmu yang menyayangi masa depanmu.




Kredit to >>  https://www.facebook.com/langitilahi/posts/543476095718965

Tuesday, July 2, 2013

Definisi ‘cinta’ saya adalah: “Hendak bersama dengan dia ke syurga.”


Orang kata, cinta itu ada kuasa istimewa. Cinta boleh membuatkan orang kuat untuk mencapai sesuatu di dalam kehidupannya. Ada seorang lelaki yang bercinta dengan seorang wanita pernah berkata kepada saya bahawa, segala perubahan ke arah kebaikan di dalam kehidupannya berlaku adalah kerana cintanya kepada seorang perempuan.

Dan tidak kurang juga yang jatuh dari kebaikan kepada keburukan, kerana cinta. Tetapi oleh kerana biasanya manusia akan ‘mabuk cinta’, maka saya suka nak fokuskan kepada cinta yang memberikan motivasi untuk bergerak ke arah kebaikan. Sebab biasanya, tidak akan ada manusia yang hendak mengaku bahawa cintanya membawa kepada keburukan.

Dan kalau diberikan kepada saya, saya sendiri akan menyatakan bahawa apa yang dinamakan ‘Cinta’ itu, memang tidak akan memberikan apa-apa melainkan kebaikan semata-mata.

Jadi, di sini kita duduk sebentar dan melihat.


Motivasi itu membawa ke arah….

Beberapa orang yang bercouple, atau dengan mudahnya saya terjemahkan sebagai ‘bercinta di luar batasan syara’, berusaha keras membuktikan bahawa hubungan mereka tidak mendatangkan apa-apa melainkan kebaikan.

Mereka akan berusaha untuk sama-sama cemerlang di dalam peperiksaan agar mampu membuktikan bahawa ‘couple’ mereka itu adalah satu perbuatan yang benar dan tidak ada padanya keburukan.

Bahkan, ada juga yang cuba membuktikannya dengan menunjukkan perubahannya ke arah peningkatan rohaniah, seperti semakin rajin membaca Al-Quran, semakin rajin ke masjid, semakin rajin bangun qiamullail dan sebagainya.

Mereka menyatakan bahawa, cinta mereka tadi memotivasikan mereka.

Tetapi saya melihat, mereka becinta dengan cara yang saya sendiri tak namakannya sebagai ‘cinta’. Namun oleh kerana masyarakat suka menamakan itu sebagai cinta, maka di sini saya pakai perkataan cinta, atau membawa maksud sebagai ‘hubungan di luar batasan syara’. Pendek kata, cinta mereka berjalan dengan perjalanan yang tidak berada dalam pagar-pagar syara’.

Keluar berdua-duaan, perbualan tanpa batasan dan terketeikatan dengan syara’, bahkan ada yang berpegang-pegangan tangan, bergesel badan, dan tidak kurang juga yang menggunakan pelbagai ‘pertahanan syara’ seperti alasan menjadi ‘muroqib’(istilah penjaga bagi menemani perempuan yang keluar berjalan di timur tengah ini), alasan berhubungan sebab program dan sebagainya namun isi perhubungan itu penuh dengan pelanggaran-pelanggaran batas yang sepatutnya. Belum dikira dengan pelanggaran batas syara’ secara persendirian seperti menampal gambar pasangan yang masih belum sah itu di dinding, di dalam buku dan sebagainya, melihatnya berkali-kali kononnya melepas rindu yang terbuku di dalam hati, dan bermacam-macam lagi.

Dan mereka menyatakan, hubungan mereka itu benar, tiada salahnya, atas pembuktian kecemerlangan dalam bidang akademik, dan juga pembuktian peningkatan ‘rohaniah’ mereka sebentar tadi.

‘Pause’

Saya menekan butang ‘pause’ agar yang berfikiran demikian boleh ‘berhenti sebentar’ dari berfikiran demikian dan melihat satu pandangan lain. Saya tidak kisah sama ada pandangan ini akan diterima atau ditolak, akan dipuji atau dihentam, sekurang-kurangnya selepas butang ‘play’ ditekan, dan diri kita masing-masing meneruskan kehidupan, maka terlepas sudah daripada bahu saya tanggungjawab memberikan peringatan.

Jadi, ‘pause’ ya. Biar saya sahaja yang bergerak.



Melihat semula kepada satu pengakhiran yang hakiki

Oleh kerana kita menekan butang ‘pause’, maka semuanya terhenti. Masa kini terhenti. Hubungan kita dan dia, bersama-sama ‘Cinta Yang Memotivasikan’ tadi turut terhenti. Lihat sebentar kepada apa yang kita namakan cinta tadi. Hubungan yang dikatakan tiada keburukan tadi. Pembuktian-pembuktian kita tadi.

Baik. Sudah lihat? Sekarang saya hendak menekan butang ‘fast forward’. Kita hendak pergi ke pengakhiran. Oh, oh, bukanlah pengakhiran itu bermaksud hubungan tadi berjaya kekal ke alam perkahwinan atau tidak. Bukan dan bukan.

Pengakhiran yang saya maksudkan adalah pengakhiran yang sebenar.

Akhirat.

Agak-agak, ‘hubungan Cinta Yang Memotivasikan’ kita tadi akan pergi ke mana?

Sebelum saya menjawab, maka dengan seronoknya saya menukilkan satu hadith yang mana hadith ini sentiasa diletakkan di dalam bab yang pertama dalam banyak kitab-kitab hadith. Mengapa diletakkan di tempat yang pertama? Kerana hadith ini menunjukkan bahawa, yang pertama itulah yang menentukan yang akhir. Apa yang pertama yang dimaksudkan itu?

Lihatlah hadith ini:

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafsin Umar ibn Khattab RA bahawa dia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap orang itu apayang diniatkan olehnya, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan menuju kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”

Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari di awal Kitab Sohihnya, dan di dalam Al-Iman(Bab Apa yang datang dengan amal bersama niat yang baik dan untuk setiap manusia itu apa yang diniatkan olehnya) dan di lima lagi tempat yang lain di dalam Kitab Sohihnya. Dan Muslim juga meriwayatkannya di dalam Al-Imazah(Bab Sabda SAW: Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat) dan diriwayatkan juga oleh Abu Dawud dalam kitab At-Talaq dan Tirmidzi dalam Kitab Fadho’il Al-Jihad dan Ibn Majjah dalam Kitab Az-Zuhd dan An-Nasai dalam Kitab At-Toharoh dan Daruqutni dan Ibn Hibban dan Al-Baihaqi.

Kita menekan butang ‘rewind’ hinggalah ke tempat kita menekan ‘pause’ tadi. Oh, kita lihat akan kecemerlangan akademik yang kita canangkan sebagai pembuktikan ‘kebaikan cinta kita’ tadi. Oh, kita lihat juga akan peningkatan rohaniah yang kita nyatakan sebagai bukti ‘kebersihan cinta kita’ tadi. Dan kita lihat sekilas ‘bagaimana kita bercinta’ pula, dan kemudian kita pergi kepada ‘sebab berlakunya peningkatan dan kecemerlangan’ tadi.

Kemudian sekali lagi kita menekan butang ‘fast forward’ menuju ke pengakhiran yang hakiki. Agak-agak kita berakhir di mana?

“…Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”

Pendek kata, kita akan ke neraka Allah SWT. Kecemerlangan kita, solat kita, qiamullail kita, bacaan Al-Quran kita, semuanya terbina bukan atas keimanan kita kepada Allah SWT. Tetapi terbina atas satu perkara yang tidak syara’. Maka kita akan pergi ke arah apa yang kita niatkan tadi. Kita akan pergi ke arah ‘sebab mengapa peningkatan itu berlaku’ tadi. Kita tidak akan pergi kepada Allah SWT.

Ya, itulah pengakhiran kita.

Jika terus dengan apa yang kita namakan cinta tadi.

Saya masih bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan

Tetapi, saya tetap bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan. Ah, saya tidak bercakap akan cinta tadi. Jika perasaan, ada perbezaan ‘cinta’ yang saya sebutkan, dengan cinta yang orang selalu sebut. Sebab itu pada saya, ‘cinta’ ini kekal suci dan bersih, dan tidak akan memberikan apa-apa keburukan kepada yang menjalankannya.

Hal ini kerana, definisi ‘cinta’ saya adalah: “Hendak bersama dengan dia ke syurga.”

Iya. Itulah dia ‘Cinta’ pada saya. Selain definisi itu, saya tidak akan menerimanya.

Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, maka kita akan termotivasi untuk menjaga syara’ seketat yang kita boleh, semampu yang kita mampu. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan studi sungguh-sungguh sebab kita tahu pemalas dan culas bukanlah ciri-ciri orang yang akan masuk syurga. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan berusaha mempertingkatkan rohaniah kita, ibadah kita, akhlak kita, kerana jelas kepada kita bahawa itulah dia ciri-ciri ahli syurga.

Dan pada masa yang sama, kita akan menjaga hubungan kita dengannya agar tidak termasuk di dalam hubungan kita ‘ism-ism yang tidak syara’ yang mampu melemparkan kita dan dia ke neraka Allah SWT. Maka, segala apa yang tidak syara’, yang Allah larang, tidak akan kita masukkan di dalam hubungan kita dengan dia.

Itulah dia ‘Cinta yang memotivasikan’ buat saya.

Nak masuk syurga dengan dia, adalah Cinta Yang Memotivasikan, dan Cinta Yang Tiada Keburukan Di Dalamnya.

Apakah mungkin ahli syurga terdiri daripada mereka yang tidak merasakan apa-apa dengan dosa, dan tidak bersegera pulang kepada Allah SWT? Mustahil.

Penutup: Tekan butang ‘play’

Itulah dia. Saya menulis artikel ini pada 14 Februari, pada hari orang ramai menyambut Valentine’s Day. Kononnya hari ini adalah menifestasi cinta. Saya yakin, ada sahaja perempuan yang kehilangan daranya hari ini kerana kononnya itulah dia terjemahan cintanya. Belum dikira yang melanggar batas-batas syara’ yang kononnya ringan seperti pegang tangan, dating berdua, bergesel badan dan sebagainya.

Tetapi itu semua membawa kita ke mana?

Bukan ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ yang kita risaukan. Saya tidak pernah mengambil ukuran ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ sebagai ukuran kejayaan sesuatu percintaan.

Tetapi kejayaan sesuatu percintaan itu pada saya adalah, ‘berjaya ke syurga bersama-sama dnegan dia, atau tidak’. Itu dan itu sahaja.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mencintai kita.

Bukankah dia membawa kita ke syurga dan mencegah kita daripada neraka?

Itulah dia ‘Cinta’.

Jadi, saya telah menekan butang ‘play’.

Bergeraklah kita masing-masing dalam kehidupan sendiri. Sama ada mahu hidup dengan pandangan saya tadi, atau kekal dengan ‘cinta yang di awal tadi’, terpulang kepada diri sendiri.

Allah, saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan.
nukilan hilal asyraf~ langit ilahi- tuhan tidak lupakan kita

cintailah dan anda akan dicintai... allah tidak lupakan kita
 
 
 
kredit to >>  https://www.facebook.com/notes/emi-de-tommo/motivasi-dari-cinta-jom-kte-selami-ertinya/195821170453283

Sunday, May 12, 2013

Solehahkan diri

Assalamualaikum w.r.t

Allhamdulillah....syukur nikmat iman dan Islam kerna  berpeluang menghirup udara dan dapat bernafas untuk terus mencari bekalan-bekalan  di akhirat yang kekal abadi.

Sepanjang berpraktikal, banyak yang telah dipelajari dan yang paling penting diri ini sentiasa mendoakan mereka untuk terus menutup aurat dan mengikut perintahmu. Mereka di sekelilingku semua baik-baik dan semoga hidayah Islam itu menyinari kehidupan mereka. Sedikit perkongsian dan peringatan kita bersama melalui sebuah cerita...

____________________________________________________________________________


Lelaki Inggeris bertanya : Kenapa dalam Islam wanita tidak boleh jabat tangan dengan Lelaki?

Syeikh menjawab : Dapatkah kamu berjabat tangan dengan ratu Elizabeth?

Lelaki Inggris menjawab : Oh tentu tidakboleh! Cuma orang-orang tertentu saja yang dapat berjabat tangan dengan ratu.

Syeikh tersenyum & berkata : Wanita-wanita kami (Kaum muslimin) adalah para ratu, & ratu tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki sembarangan (yang bukan mahramnya).

Lalu si Inggris bertanya lagi : Kenapa perempuan Islam menutupi tubuh dan rambut mereka?

Syeikh tersenyum dan punya 2 coklat, ia membuka yang pertama terus yang satu lagi tertutup. Dia melemparkan keduanya ke lantai yang kotor.

Syeikh bertanya : Jika saya meminta Anda untuk mengambil satu coklat, mana yang Anda pilih?

Si Inggris menjawab : Yang tertutup...

Syeikh berkata : Itulah cara kami memperlakukan dan melihat perempuan kami.

#wahai wanita islam. lihatlah betapa islam menjaga martabatmu. so, apa alasan tak nak ikut syariat islam?? belum dapat hidayah?? itu alasan lapok lah. So, nak tunggu hidayah datang dulu lah?? Kalau ajal yang datang dulu macam mana?? Allah tak akan ubah nasib sesuatu kaum jika mereka sendiri tidak mahu mengubahnya. RenungII kan dan selamat berubah# ^_^
via Tazkirah sANTAPAN rOHANI 
 
Yuk baiki diri ..seru yang lain..=)


Thursday, March 21, 2013

Seksi itu HAK SAYA???



Assalamualaikum w.r.t

Apa khabar iman?...apa erti Islam kita hari ini...moga segalanya di bawah rahmat dan petunujuk Allah senantiasa....

Penulis kongsikan isu yang membuatkan hari penulis juga terguris dengan status tersebut...penulis doakan moga beliau di berikan hidayah dan petunjuk selepas menerima teguran dari Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj  yang merupakan salah seorang aktivis daripada beribu2 insan yang berusaha gigih untuk mencegah kemaksiatan. Namun, dengan status tersebut sedikit sebanyak dapat membantutkan usaha murni orang-orang yang ingin mengislah dan memperbaiki masyarakat dari permasalahan ummah yang semakin tenat....

__________________________________________________________________________________
Atas dasar tanggungjawab dan amanah, Dr Har memberanikan diri mengajukan pandangan terhadap fenomena semasa yang amat membimbangkan – di mana semakin ramai ahli masyarakat yang tidak lagi peduli dan kisah dengan teguran orang lain di sekeliling. Apa yang lebih menyedihkan – apabila alasan yg diberikan berlandaskan hujah hak asasi peribadi, yang dianggap mutlak milik individu. Orang lain dianggap tidak berhak campurtangan dan mempersoalkan keputusan, tindakan dan tingkah laku seseorang itu.  
Terbaru, hari ini (21 Mac 2013) terdapat laporan akhbar harian mengenai komen seorang yang dikenali ramai mengenai `hak peribadi’nya utk berpakaian seksi. Beliau juga memberi amaran agar orang ramai jangan terlalu menjaga `tepi kainnya’. Sedih dan sayu rasa hati membaca komen tersebut. Masakan boleh Dr Har buat tak kisah dan membiarkan golongan ini begitu sahaja. Kalau ada yang mahu mengatakan : `Who cares?’, Dr Har jawab
`I do care! A lot!
Dalam konteks ini, perlu sangat diperjelaskan bila nak bercakap pasal hak, ada beberapa noktah yang mesti diperhatikan :
  1. Jangan lupa, jauh mendahului hak individu adalah hak Allah SWT yang Maha Agung, Perkasa dan Sempurna. Hak Allah SWT adalah untuk disembah, dipatuhi dan diagungkan. Segala suruhan-Nya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, maka pujuklah diri dan relakanlah jiwa untuk patuh, taat dan setia. Larangan yang membawa kemurkaan-Nya adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia itu sendiri, maka jauhilah sejauh-jauhnya. Membelakangkan hak Allah, tidak memperdulikan suruhan-Nya – adalah satu manifestasi kesombongan yang luarbiasa!  
  2. Janganlah pula terlupa, tubuh badan kita sebenarnya bukan hak milik kita, yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Ianya hanya pinjaman sementara, dari Empunya yang tidak pernah terleka. Keindahan tubuh badan ini boleh hilang sekelip mata, semua terpulang kepada yang Empunya. Bukankah kita mengimani adanya Hari Pembalasan di Padang Mahsyar? Khabarnya, itulah saat segala anggota tubuh badan kita akan mengadu perihal penyalahgunaan dan pengkhianatan kita. Mulut yg begitu lantang bersuara semasa di dunia, terkunci rapat semasa ditimbangtara. Tentu sekali kita takkan boleh berkata kepada Tuhan yang Empunya segalanya, `Jangan jaga tepi kainku! ‘
  3. Jangan lupa, selain hak adanya pula tanggungjawab dan rasa hormat. Tiga aspek ini :Responsibilities, Rights & Respect – 3R, tak boleh dipisahkan.  Hak hanya boleh diberikan kpd mereka yg sudah menjalankan tgjwb & peranan mereka dengan baik dan sempurna. Peruntukan hak mestilah pula dihormati. Jangan asyik berhujah dengan hak kita yang itu dan yang ini. Tanyakan pada diri, sudahkah tanggungjawab dan peranan asasi kita sebagai hamba Allah dan khalifah terlaksana? Kalau belum, hak apa sebenarnya yang ada pada dirimu?
  4. Jangan lupa, kita manusia makhluk Allah yg perlu hidup secara berkelompok dan bersosial. Kita manusia lemah, amat saling bergantungan dan perlu-memerlukan. Selain hak individu, ada di sana hak kolektif (jamaí) yang menjadi milik komuniti di sekelilingmu. Bila bertembung antara hak individu kita dengan hak kolektif massa – ketahuilah, hak kolektiflah yang harus didahulu dan diutamakan. Demi sebuah ketenangan hidup yang penuh rasa hormat-menghormati, ayuh kita belajar dari kelompok manusia dulu – mendahulukan hak kolektif dibandingkan hak individu. 
Mungkin yang paling mendapat manfaat dari nukilan ini, bukanlah kelompok sasaran yang diajukan teguran.
Tak mengapalah, Dr Har yakin, ada kelompok yang pasti mendapat sedikit peringatan dan tazkirah.
Fazakkir, innafa’atiz zikra : Dr Har akan terus memberi peringatan, sesungguhnya peringatan yang berulang-ulang itu banyak manfaatnya!
Salam ukhuwah :
Dr.Harlina Halizah Siraj ( Dr.Har)
 
 http://drhar.blogspot.com/


Wednesday, March 13, 2013

THE SCHOOL OF TARBIYYAH





THE SCHOOL OF TARBIYYAH

Tarbiyah adalah kekuatan yang mampu mengubah
Duri menjadi mawar, cuka menjadi anggur
Mengubah sedih menjadi riang
Mengubah amarah menjadi ramah
Mengubah musibah menjadi muhibbah
Itulah tarbiyyah

Sekalipun tarbiyyah telah ku uraikan
Dan ku jelaskan panjang lebar
Namun jika tarbiyyah ku datangi
Aku menjadi malu pada keteranganku sendiri

Namun tanpa lidah tarbiyyah ternyata lebih terang
Sementara pena tergesa-gesa menulisnya
Kata-kata pecah berkeping-keping
Begitu sampai kepada tarbiyyah

Dalam menguraikan tarbiyyah
Akal terbaring tidak berdaya
Bagai keldai terbaring dalam lumpur
Tarbiyyah sendirilah yang menerangkan tarbiyyah dan pentarbiyyahan




(diadaptasi daripada puisi cinta oleh Ar-Rumi yang dideklamasikan oleh Ayyatul Husna dalam filem Ketika Cinta Bertasbih)



tarbiyahku kini di bumi Manjung....moga dipermudahkan Ya Allah...

Sunday, October 14, 2012

DIA Awal & Akhir/ Terima Kasih Allah [DA/TA]

Assalamualaikum...alhamdulillah..syukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan kerana kita ini hamba Allah yang yang ditugaskan untuk menjadi khalifah dan menyebarkan syiarNya. Usai daurah yang dipertanggungjawabkan di atas diri dan berharap semoga daurah kali ini sedikit sebanyak adalah usaha penulis untuk membantu agama ini. Moga Allah redha.



Daurah kali ini, penulis merasai kelainannya kerana menampilkan seorang penceramah yang hebat selaku motivator Kempen Anda Bijak Jauhi Zina pada suatu ketika dulu iaitu Pn Salleha Haji Kasim juga digelar sis Sally. Penulis teringin sangat mahu mendengar perkongsian dari Sis Sally kerana penulis pernah menjadi fasi beliau semasa program ABJZ suatu ketika dulu di  Sek Rantau Petronas, Kerteh, Terengganu. Tiba-tiba merindui tarbiyah di UNISZA dulu.

Banyak ibrah yang penulis dan peserta dapat antaranya mengenai sifat-sifat positif yang perlu ada kepada seorang Muslim. Antaranya mengaharamkan perkataan 'MASALAHNYA!!' tetapi tukar kepada 'ISUNYA!' kerana perkataan tersebut memberi maksud yang berbeza dan mendalam. Sis Sally juga menekankan, jika Allah S.W.T memberi kita isu, tindakan pertama yang perlu kita tuturkan ialah perkataan ALHAMDULILLAH kerana kita mesti bersyukur di atas ujian itu ataupun boleh jadi Allah mahu menunjukkan sesuatu kepada kita. Sungguh!Kehidupan adalah universiti tarbiyah paling baik kerana Allah mahu mengajar kita dan setiapnya terdapat  hikmah terbesar.

Ketahuilah!Manusia menyimpan seribu satu peristiwa gembira dan satu peristiwa sedih dalam kehidupannya. Untuk menjadi hebat, kita mesti rosakkan memori yang menyedihkan itu. Kerana otak kita ada gelombang bawah sedar yang sentiasa berlegar-legar dan ia akan menterjemahkan kepada setiap tindakan kita. Kita juga perlu beri peluang pada diri sendiri. Kadang-kadang dalam hidup ini kita sering gagal bukan kerana orang lain tetapi  kita sendiri yang memilih untuk gagal. Nauzubillahiminzalik.

Penulis juga tertarik dengan point mengenai cara orang Muslim menggunakan otak kanan adalah dengan memohon daripada Allah. Kita mesti yakin bahawa Dia yang Awal dan Dia yang Akhir. Orang-orang yang hebat mesti meminta izin dahulu daripada  ALLAH untuk melakukan sesuatu. Antara buktinya adalah Syaitan. Syaitan hebat di alam fana ini kerana dia meminta izin untuk menyesatkan manusia dan Allah izinkan. Penulis terfikir, kalaulah syaitan yang engkar kepada Allah pun minta izin dariNya, kenapa tidak kita yang dicop sebagai ummat terbaik menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran melakukan sedemikian. Ya Allah, sombongnya kita,tidak  minta izin dari Allah dalam setiap detik kehidupan termasuk makan dan minum serta belajar apatah lagi dalam melakukan kerja-kerja dakwah. Ampunilah kami Ya Allah. Allah kan Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah, program berjalan  lancar walaupun terdapat masalah ruang yang terhad kerana kehadiran peserta yang menggalakkan. Insyaallah kami akan berusaha membaikinya. Ya Allah, andai usaha sedikit cuma ini yang penulis mampu buat untuk agamaMu, terimalah amalan ini. Allah kan baik. Moga dapat menyentuh hati-hati itu untuk terus menegakkan syiarMu. Penulis mohon Ya Allah. Amien

KOmen peserta




Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata : "nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah dia bersungguh-sungguh.". Ya, nikmat sahabat yang soleh memang tidak ternilai, melihat gerak gerinya, mendengar tutur katanya, semuanya mengingatkan kita kepada ALLAH.

Semoga kita dapat mendidik diri agar tidak bosan menghulurkan tangan. Bukalah ruang rahmat dihati kita, sambutlah tangan mereka dengan penuh kasih sayang. Tiada kesempurnaan dalam diri manusia, bersabarlah menghadapi sahabat yang pelbagai. Semoga kita tergolong dalam golongan sahabat-sahabat yang soleh dan solehah. bersahabat hingga Syurga ! insyaALLAH.. :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...