Saturday, May 26, 2012

Semangat mampu menewaskan angan-angan!


Ibn Qayyim al-Jauziyah menulis :

Ramai dalam kalangan orang Kristian dan Yahudi yang sebenarnya berminat pada Islam. Tetapi iblis bertindak menghalang mereka memeluk agama Islam. Kata Iblis;" Jangan bertindak terburu-buru. Fikirkan mengenainya sekali lagi secara matang". Iblis terus-menerus membisikkan kata-kata itu sehingga mereka akhirnya mati sebelum sempat memluk agama Islam.

Iblis turut menghalang orang yang berdosa daripada bertaubat. Akhirnya mereka menjadikan nafsu syahwat sebagai matlamat hidup. Kata seorang penyair,"Jangan segera melakukan dosa kerana nafsu berahi dan jangan melengah-lengahkan taubat sehingga kemudian hari"

Ramai yang ingin berbuat kebaikan, menangguhkannya kerana dihalang oleh iblis. Kepada orang yang hendak belajar,iblis berbisik,"Tunggu dulu!". Kepada orang yang hendak mendirikan sembahyang malam,iblis berbisik, "Engkau masih punya banyak waktu"

Iblis sentiasa mendorong manusia bermalas-malasan dan menjadikan amal kebaikan sebagai angan-angan semata-mata.
Orang yang mempunyai semangat harus bertindak berdasarkan semangatnya. Semangat mampu menewaskan angan-angan. Ketika dalam keadaan semangat, timbul rasa takut dan bimbang sekiranya apa yang ingin dilakukan tidak dapat dikotakan. Mereka juga sedar masa yang berlalu tidak kembali lagi. 

Orang yang hendak melakukan kebaikan, terhalang melakukannya kerana panjang angan-angan. Pada masa yang sama, manusia dibisikkan pula melakukan kejahatan. Akhirnya mereka terus menerus berkeadaan begitu.

Orang yang panjang angan-angan suka membuat andaian. Contohnya mereka berkata, "Sekiranya saya dapat rezeki lebih, saya akan bersedekah". Percakapan sebegitu tidak ada faedah. Antara generasi awal Islam ada berkata, " Saya ingatkan kalian mengenai bahaya membuat andaian, kerana membuat andaian itu adalah pasukan iblis paling besar."

Perbandingan antara orang yang panjang angan-angan dengan yang berwaspada berusaha menyiapkan bekalan secukupnya bagi perjalanan yang jauh itu. Sebaliknya orang yang panjang angan-angan menangguhkan persiapan sehingga akhirnya gagal membawa bekalan secukupnya dan menghadapi masalah dalam perjalanan.

Begitulah perumpamaan manusia di dunia ini. Ada yang sedar dan berwaspada, ada yang terpedaya dan panjang angan-angan. Manusia yang berwaspada tidak cemas apabila kematian menghampirinya. Manusia yang panjang angan-angan sebaliknya berasa takut dan kesal.

Kami memohon keselamatan keppada Allah daripada tipu daya dan pujukan syaitan, kejahatan jiwa dan dunia. Sesungguhnya Allah Maha Dekat dan Maha Mengabulkan Doa. Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan orang yang beriman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...