Wednesday, June 15, 2011

Coretan Majlis Tilawah Al-Quran dan Nasyid (MTQN) kali ke-17 PEYATIM Peringkat Kebangsaan dan Asean



Bismillahirrahmanirohim...
“Barangsiapa mengkehendakki pahala dunia Kami berikan pahala itu dan barangsiapa mengkehendakki pahala akhirat Kami berikan pahala itu. Dan Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran:145)

Alhamdulillah, syukur dengan nikmat Islam dan Iman yang dikurniakanNYA dapat jua penulis berpeluang menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dan Nasyid (MTQN) kali ke-17 PEYATIM Peringkat Kebangsaan dan Asean sebagai urusetia program tersebut. Penulis berasa bersyukur kerana telah terpilih oleh Allah untuk sama-sama memeriahkan program tersebut.

Pada dasarnya, anak-anak yatim di negara ini amat beruntung kerana kerajaan mahupun orang perseorangan sangat bermurah hati untuk melihat kebajikan mereka terjaga. Tidak seperti di Indonesia yang pernah penulis lawati, hanya yang sedar akan kepentingan menjaga anak yatim sahaja yang mengerjakan amalan murni ini. Namun begitu, kita juga harus melihat aspek-aspek yang lain di mana mereka juga ada kelebihan dari negara kita.

Penulis juga merasa bertuah kerana banyak menimba pengalaman untuk mengendalikan program besar-besaran seperti ini. Program sebegini memang menguji diri bukan sahaja dari segi mental tetapi fizikal dan emosi. Teringat dengan kata-kata staff bahawa kita ini memang tidak boleh memuaskan hati orang lain. Jadi kita perlu bertindak mengikut arahan. Namun adakalanya kita dapat puaskan hati orang lain jika kita membuat ihsan dan memikirkan altenatif  lain. Itu semua terpulang kepada kebijaksanaan seseorang dalam mengendalikan masalah.

Pertemuan dengan seorang pengasas Pusat Anak Yatim amat terkesan dalam diri penulis. Beliau digelar Pak Wan seorang yangg nampak tenang dan kelihatan muda walaupun umurnya lebih dari itu. Pak Wan berterima kasih kepada kami dan menyatakan  bahawa hanya insan terpilih sahaja yang dapat sama-sama membantu anak-anak yatim ini. Ketahuilah mereka ini begitu istimewa dan beruntunglah mereka yang memuliakan anak-anak yatim. Pak Wan menasihati kami supaya kelak jangan segan silu jika ada  sesuatu hajat datanglah ke rumah mereka dan minta mereka mendoakannya. Insyaallah doa mereka termakbul.

Hebat! Inilah yang dapat menggambarkan semangat anak-anak Yatim ini. Mereka memang semangat dalam memenangi acara yang dipertandingkan seperti mendeklamasikan sajak, azan,tilawah Al-Quran, Nasyid, berzanji, syarahan Bahasa Melayu dan Inggeris. Masing-masing menggayakan pakaian yang cantik-cantik dan seragam menyerlahkan lagi kematangan mereka. Perasmian pembukaan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar , Negeri Sembilan dan Perasmian penutup dirasmikan oleh Dato’ Haji Mubarak Bin Dohak, D.T.N.S Undang Luak Sungei Ujong. Terima kasih kepada Presiden PEYATIM, YM Dato’ Dr Hj Tengku Mahmud Mansor yang manganjurkan program ini.

Berkongsi pengalaman bersama delegasi Thailand yang cukup peramah. Mujur mereka fasih berbahasa melayu dan mungkin itulah puncanya kami amat menyenangi mereka sehingga boleh memanggil panggilan AYOH dan ABOH. Ada peristiwa yang menarik berlaku apabila Ayoh menanyakan kepada kami  tentang adab mengadap sultan atau raja bagi orang Melayu. Persoalan yang membuatkan kami berfikir ialah agama Islam sudah bertapak di Malaysia sudah lama dan mengapa jika mengadap sultan, tidak dapat tidak seseorang itu akan meletakkan tangan di kepala seperti menyembah sultan. Ayoh beritahu kami bahawa itu adalah amalan penganut Buddha yang membuat sebegitu di tokong. Kami terdiam sejenak dan ayoh seakan-akan membuat provokasi ke atas kami. Siapalah kami untuk mengubah adat istiadat Raja-Raja wahai ayoh weh…

Penulis tertarik dengan ucapan Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Cancelor USIM di dalam buku cenderamata yang disediakan menyarankan kita agar melihat contoh makhluk yang Allah ciptakan iaitu semut. Mampukah manusia mencipta makhluk seperti semut yang merupakan jurutera dan arkitek yang hebat, canggih dan menakjubkan dalam hal ehwal pengeluaran, pembinaan dan pembikinan bangunan. Jika kita perhatikan sesungguhnya sarang semut sangat unik. Ianya mempunyai pelbagai peringkat yang pelik sekali. Para ilmuwan dan saintis menemukan bahawa sarang semut tidak dapat ditandingi dengan rumah yang dibangunkan oleh manusia di mana rumah tersebut dilengkapi dengan kelengkapan seperti kamar khusus untuk menyimpan makanan, slot peredaran udara, bilik untuk anak-anak dan sarang untuk beristirehat. Sebab itulah Al-Quran menamakan rumah-rumah ini dengan perkataan masakin (sarang-sarang) yang merupakan sebutan dan nama yang teliti dan mendalam sekali dari sudut ilmiah dan menjadi bukti akan kemukjizatan Al-Quran. Semangat semut juga tidak dapat ditandingi oleh manusia. Mereka mengikut arahan dan mampu mengangkat satu beban yang lebih berat daripada mereka sendiri. Allah SWT berfirman melalui lisan semut yang bermaksud “Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari";    ” An-Naml:18

Alhamdulillh….selepas majlis tersebut berakhir, kami dijemput makan malam bersama-sama TNC Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah . Di dalam ucapannya, Dato’ menyatakan anak-anak yatim ini bukanlah kurang dari segi wang ringgit kerana rata-rata mereka sudah mampu mempunyai telefon bimbit yang canggih, tetapi kurangnya keprihatinan dan kasih sayang. Ini kerana kita dapat melihat interaksi dan cara komunikasi mereka memang berlainan. Selain itu, Dato’ berterima kasih kepada kami kerana dapat memikul tanggungjawab sebagai urusetia dengan jayanya kerana rata-rata mendapat komen yang positif. Dato’ juga menyatakan kami berjaya mempraktikkan kemahiran-kemahiran yang dipelajari seperti kemahiran menyelesaikan masalah, critical thinking, komunikasi berkesan dan etika & moral yang bagus selain menunjukkan kemahiran keusahawanan yang tinggi iaitu berkerja keras dan rajin berusaha dan sanggup  menghadapi risiko. Hanya kami sahaja yang tahu kebenaran kata-kata Dato’ itu kerana kami yang melaluinya. Akhir kata , moga mahasiswa/i USIM dapat menjadi golongan Abrar(orang-orang yang berbakti)  yang diidamkan oleh USIM khususnya. J
Terima kasih kepada yang terlibat dalam program ini. Moga kita sama-sama mendapat ganjaran di sisi-NYA.







Saturday, June 4, 2011

Kursus Praktikal Penyembelihan dan Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli


Assalamualaikumwarahmatullah…
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat lagi kita bernafas di muka bumi ini dan yang paling penting kita  masih menikmati nikmat Islam dan Iman…maka beruntunglah bagi mereka yang  berakal dan mensyukuri segala nikmatNya
Untuk perkongsian pada kali ini adalah mengenai pengalaman penulis bersama-sama masyarakat di Perkampungan orang asli Kampung Tekir baru-baru ini pada 30 & 31 Mei di bawah program Kursus Praktikal Penyembelihan dan Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson. Pihak SPMM telah menghantar seramai 11 orang sukarelawan untuk menguruskan sukaneka dalam program tersebut.
Antara objektif program yang berlangsung selama dua hari  ini adalah memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat orang asli tentang Islam sebagai satu cara hidup , memberi kefahaman kepada masyarakat orang asli mengenai kepentingan hidup bermasyarakat, dan pendedahan kepada orang asli tentang syarat,rukun dan kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak.

Hari pertama iaitu pada 30 Mei 2011, masyarakat orang asli baik Islam dan bukan Islam berpeluang menyertai bengkel dan praktikal penyembelihan yang disampaikan oleh Ustaz Mat Nawi bin Mahmood yang merupakan penceramah yang sama ketika penulis menguruskan program sembelihan Halal anjuran Sekretariat Pendakwah Muda di kampus USIM sendiri. Kemudian, pada sebelah petangnya sekretariat sukarelawan USIM pula mengambil alih untuk menguruskan program sukaneka. Susah tapi seronok. Pelbagai ragam kanak-kanak dan dewasa dapat dilihat pada program itu. Dan yang pasti mereka cukup kreatif dalam membuat kraftangan.

Pada malam hari akan diadakan majlis bacaan Yaasin , tahlil dan doa selamat di surau.Alhamdulillah, akhirnya meriah juga surau yang tidak berpenghuni sekian lama. Namun,  penulis agak terkilan  kerana tidak dapat menyertainya kerana sebahagian sukarelawan ada kelas keesokan harinya.
Pada keesokan harinya 31   MEI 2011. Majlis perasmian penutup program Kursus Praktikal dan Penyembelihan & Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hasim Bin Rusdi yang merupakan ADUN Labu, Negeri Sembilan. Penulis sendiri tidak pernah melihat sambutan yang menggalakkan dari penduduk kampung jika dibandingkan dengan program sebelum ini yang pernah dibuat di kampung yang mana kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian dalam pertunjukan nyanyian dan tarian sewang .
Majlis perasmian penutup dimulai dengan ucapan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli. Kemudian, penulis tertarik dengan ucapan pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang menerangkan bahawa program yang dijalankan ini bukanlah untuk menarik masyarakat orang asli memeluk Islam  tetapi untuk mendedahkan kepada mereka cara hidup Islam yang unik kerana yang menentukan seseorang itu Islam adalah dengan melalui hidayah sahaja dan bukan sogokan lain seperti wang, makanan , perlindungan dan sebagainya kerana itu adalah nikmat sementara.

Akhir kata, terima kasih kepada pihak yang terlibat seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Seremban, Jabatan Kesihatan, Masjid Pasir Puteh dan Polis diraja Malaysia dan sekretariat USIM yang telah menjayakan program Kursus Praktikal dan Penyembelihan & Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...