Saturday, June 4, 2011

Kursus Praktikal Penyembelihan dan Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli


Assalamualaikumwarahmatullah…
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat lagi kita bernafas di muka bumi ini dan yang paling penting kita  masih menikmati nikmat Islam dan Iman…maka beruntunglah bagi mereka yang  berakal dan mensyukuri segala nikmatNya
Untuk perkongsian pada kali ini adalah mengenai pengalaman penulis bersama-sama masyarakat di Perkampungan orang asli Kampung Tekir baru-baru ini pada 30 & 31 Mei di bawah program Kursus Praktikal Penyembelihan dan Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson. Pihak SPMM telah menghantar seramai 11 orang sukarelawan untuk menguruskan sukaneka dalam program tersebut.
Antara objektif program yang berlangsung selama dua hari  ini adalah memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat orang asli tentang Islam sebagai satu cara hidup , memberi kefahaman kepada masyarakat orang asli mengenai kepentingan hidup bermasyarakat, dan pendedahan kepada orang asli tentang syarat,rukun dan kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak.

Hari pertama iaitu pada 30 Mei 2011, masyarakat orang asli baik Islam dan bukan Islam berpeluang menyertai bengkel dan praktikal penyembelihan yang disampaikan oleh Ustaz Mat Nawi bin Mahmood yang merupakan penceramah yang sama ketika penulis menguruskan program sembelihan Halal anjuran Sekretariat Pendakwah Muda di kampus USIM sendiri. Kemudian, pada sebelah petangnya sekretariat sukarelawan USIM pula mengambil alih untuk menguruskan program sukaneka. Susah tapi seronok. Pelbagai ragam kanak-kanak dan dewasa dapat dilihat pada program itu. Dan yang pasti mereka cukup kreatif dalam membuat kraftangan.

Pada malam hari akan diadakan majlis bacaan Yaasin , tahlil dan doa selamat di surau.Alhamdulillah, akhirnya meriah juga surau yang tidak berpenghuni sekian lama. Namun,  penulis agak terkilan  kerana tidak dapat menyertainya kerana sebahagian sukarelawan ada kelas keesokan harinya.
Pada keesokan harinya 31   MEI 2011. Majlis perasmian penutup program Kursus Praktikal dan Penyembelihan & Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hasim Bin Rusdi yang merupakan ADUN Labu, Negeri Sembilan. Penulis sendiri tidak pernah melihat sambutan yang menggalakkan dari penduduk kampung jika dibandingkan dengan program sebelum ini yang pernah dibuat di kampung yang mana kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian dalam pertunjukan nyanyian dan tarian sewang .
Majlis perasmian penutup dimulai dengan ucapan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli. Kemudian, penulis tertarik dengan ucapan pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang menerangkan bahawa program yang dijalankan ini bukanlah untuk menarik masyarakat orang asli memeluk Islam  tetapi untuk mendedahkan kepada mereka cara hidup Islam yang unik kerana yang menentukan seseorang itu Islam adalah dengan melalui hidayah sahaja dan bukan sogokan lain seperti wang, makanan , perlindungan dan sebagainya kerana itu adalah nikmat sementara.

Akhir kata, terima kasih kepada pihak yang terlibat seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Seremban, Jabatan Kesihatan, Masjid Pasir Puteh dan Polis diraja Malaysia dan sekretariat USIM yang telah menjayakan program Kursus Praktikal dan Penyembelihan & Majlis Berkhatan Masyarakat Orang Asli Peringkat Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson.

1 comment:

  1. salam,kak liya....
    dh hbs ea program 2?? ^_^
    skrg dh kt kmpung ke?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...