Thursday, July 14, 2011

Kembara Dakwah di bumi Sabah (BhGn 1)





“Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Ankabut: 21)

EKSPEDISI DAKWAH SABAH 2011-07-12

Alhamdulillah..syukur dengan limpah kurnianya dapat penulis bersama-sama teman seperjuangan dapat meneruskan Kembara Dakwah pada kali ini .


Pada 29 Julai 2011 yang lepas, terpahat sejarah dalam diari pelajar Dakwah dan Pengurusan Islam sesi 2009/2010 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan kerana berjaya menjalankan Program Ekspidisi Dakwah Sabah. Seramai 14 orang yang mengambil bahagian dalam kembara dakwah pada kali ini. Ucapan terima kasih kepada pengarah program, akh Fikri yang merupakan orang Sabah kerana berjaya membuat program seperti ini serta rakan-rakan seperjuangan. Sungguh begitu banyak mehnah yang terpaksa dilalui dan berkat tekad yang kuat demi melihat ianya menjadi realiti, akhirnya segala urusan dipermudahkan.Alhamdulillah.

Walaupun kapal terbang kami berlepas secara berasingan namun , kami tetap sampai di bumi Sabah dengan selamat. Setelah sampai, kami dibawa ke kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah di Kingfisher iaitu penginapan untuk pelajar master sahaja. Banglo yang tersergam indah itu adalah kediaman rasmi bagi delegasi daakwah Sabah pada kali ini.

Pada keesokan harinya 30 Julai 2011, kami diarahkan membuat persiapan dari segi mental dan fizikal kerana selain menghadapi perjalanan yang jauh iaitu kira-kira 9 jam ke Lahad Datu, kami juga akan menghadapi pelajar-pelajar yang mana ada di kalangan mereka yang berada di tingkatan 4 bermasalah di SMK Terusan Lahad Datu kerana kami diberitahu bahawa UMS pernah menarik diri untuk membuat program di sini. Kami bertolak dengan menaiki bas dan buat pertama kalinya penulis sebagai penumpang rasa dihargai kerana diberi air mineral, ubat mabuk dan plastik . Sungguh keadaan ini tidak pernah berlaku di Semenanjung. Sepanjang perjalanan barulah penulis merasa begitu peritnya menghadapi perjalanan yang amat panjang membelah gunung –ganang. Inilah satu cabaran untuk berdakwah di bumi Sabah kerana keadaan muka bumi yang bergunung-ganang amat susah untuk berhubung antara satu sama lain. Kami singgah di pasar Kundasang dan membeli sedikit buah-buahan. Walaupun perjalanan yang dilalui penuh liku, penulis sangat terpegun melihat kejadian Sang Pencipta yang tersergam indah yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Selepas sehari suntuk perjalanan, pada malamnya sampailah kami di tempat yang dituju . Terima kasih kepada akh Zulfadli yang menyambut ketibaan kami.Kami sangat terkesan apabila melihat beliau berbuka puasa di jalanan sahaja. Kami langsung ke masjid dan turut serta dengan pelajar asrama yang sedang membaca Yasin ketika itu. Selepas sembahyang isyak,kami membuat sesi taaruf bersama pelajar tingkatan Satu dan pembahagian kumpulan untuk aktiviti seterusnya. Untuk pertemuan malam esoknya, kami memberi tugas kepada pelajar tersebut untuk membuat persembahan dengan tujuan agar dapat mencungkil bakat mereka. Setelah selesai program bersama pelajar tingkatan Satu. Kami mengadakan perbincangan untuk menghadapi pelajar tingkatan empat yang bermasalah itu. Perbincangan bersama mahasiswa UMS larut hingga ke lewat malam bagi memastikan segala manhaj-manhaj dakwah yang dipelajari dapat dipraktikkan.

Pada 1 Julai bermulalah program kami bersama pelajar tinkatan 4. Sungguh bersyukur kerana tidak semua yang membuat masalah kerana ada di kalangan mereka yang berpindah di sekolah itu dengan sebab kedudukan rumah mereka yang dekat. Program itu terbahagi kepada dua sesi, walaupun sesi kedua itu pelajar itu semakin berkurang selepas solat jumaat, penulis yakin yang hadir pada sesi itu adalah pelajar-pelajar yang mempunyai semangat untuk menimba ilmu dan berjaya. Sesi luahan perasaan yang menyentuh hati penulis. Sungguh setiap manusia akan diuji oleh Allah. Penulis dapati suasana persekitaranlah yang mempengaruhi tinkah laku remaja saat ini. Aku terbaca luahan seorang pelajar ini yang sangat bencikan bapanya. Mengapa ini berlaku kepada seorang anak masakan institusi kekeluargaanlah yang memainkan peranan penting dalam menjamin sahsiah remaja sekarang yang seusia ini mereka sedang memberontak ingin mencuba sesuatu yang baru. Moga penyesalan mereka di akhir program tersebut akan membawa mereka ke puncak kejayaan. Dengan inisiatif sendiri, bagi memastikan janji-janji mereka terlaksana, tertubuhlah group fb XPDC SMK Terusan Lahad Datu. Bagi mereka yang sudi menyertai kami, kami alu-alukan bertujuan memberi sebarang nasihat dan pengajaran berguna kepada mereka. Kenangan terindah bersama SMK Terusan akan menjadi memori yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup penulis.

Pada 2 Julai 2011, pengembaraan diteruskan dengan mengembara ke daerah Tawau.
Perjalanan dengan menaiki van yang selesa dengan alunan lagu Hambamu yang dapat menghilangkan rasa letih dalam diri. Terima kasih kepada akh Zulfadli yang sanggup menjadi pemandu pelancong kami. Jasamu tidak dapat kami balas walau kami tahu kamu juga letih membawa kami. Kami singgah di Hutan Simpan Madai Baturong Kunak. Subhanallah,sungguh indah tanpa dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Kadang-kadang fitrah manusia sendiri akan berasa tenang dan damai apabila melihat kehijauan alam. Setibanya di Tawau, kami diarahkan untuk menemuramah beberapa peniaga di Pasar Tanjung untuk mendapat maklumat serba sedikit mengenai realiti umat Islam di Sabah. Alhamdulillah, beberapa orang peniaga dapat kami interview dan ternyata persaingan sengit antara Islam dan Kristian terjadi di sini kerana jangan sangka mereka yang bernama Islam di dalam kad pengenalan itu adalah beragama Islam. Menurut Puan Hajjah Raja Nurhaeda, antara faktor yang menyebabkan perkembangan Islam di Sabah kurang aktif adalah kerana sikap para pendakwah yang tidak mahu menjejaki dan mendekati mad’u-mad’u di kawasan pedalaman. Perjalanan kami diteruskan untuk pulang ke Lahad Datu semula kerana pada malamnya kami akan pulang semula ke Kota Kinabalu. Ternyata perjalanan kali ini adalah peristiwa yang tidak dapat kami lupakan kerana bas yang kami naiki ke Kota Kinabalu hampir berundur kebelakang semula semasa menaiki bukit. Hanya kepadamu kami berserah Ya Allah. Alhamdulillah kami sampai ke destinasi yang di tuju ketika waktu Subuh.

BERSAMBUNG....

"JOM jadi persis tabiin Al-Hasan Al-Basri...
Jika beliau menyruruh orang berbuat kebaikan, beliau terlebih dahulu melakukannya..
Jika beliau menyuruh orang melakukan maksiat, beliau adalah orang pertama meninggalkannye.."
Renung-renungkan..dan selamat beramal...





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...