Thursday, July 14, 2011

Kembara Dakwah di bumi Sabah (BhGn 2)



Alhamdulillah, syukur nikmat Islam dan Iman yang masih wujud dalam diri dapat sekali lagi penulis meneruskan coretan pengalaman di blog yang tidak seberapa ini.

3 Julai 2011, kembara dakwah diteruskan dengan program Jejak Mualaf di Masjid UMS yang tersergam indah. Para mualaf yang hadir adalah dari Hidayah Centre. Ceramah disampaikan oleh Ustazah Noodianah binti Alwi, Penolong Pengarah, Penerbitan & Perhubungan Awam, JAKIM Cawangan Sabah dan merupakan salah seorang pengasas Teratak Fitrah. Melalui ceramah beliau, kami dapat mengetahui serba sedikit mengenai perbezaan orang yang memasuki Islam di Sabah dan Wilayah Persekutuan. Di Sabah, kes-kes yang melibatkan perebutan antara agama ini tidak akan timbul kerana saudara Muslim di Sabah dikehendaki mengangkat sumpah di Suruhanjaya Sumpah secara sukarela jika ingin memasuki agama Islam. Selesai slot Ustazah, tiba slot kami bersama para mualaf yang hadir. Penulis berkenalan dengan seorang pelajar tingkatan 3 yang berasal dari Johor dan kini menetap bersama ibu saudaranya selepas beliau memasuki Islam. Agak tersentuh juga cerita yang disampaikan oleh Nurul Iman ini kerana di sekolah beliau tidak dapat memakai tudung kerana takut guru Kristian akan mengetahui statusnya dan apabila beliau meminta tunjuk ajar dari rakan sebilik tentang solat , kawan-kawan seislamnya tidak mampu merendah diri kerana khuatir apa mereka ajarkan itu adalah salah. Penulis dimaklukan bahawa beliau kali pertama memakai tudung pada hari itu, dan seusai solat Zohor, penulis sendiri yang mengajarnya memakai tudung dengan rapi. Sungguh!pengalaman yang penulis tidak akan lupakan. Moga Allah sentiasa membantu Nurul Iman mendalami ilmu agama dan selamatkan dirinya dari godaan syaitan. Apabila Allah menghendaki seseorang itu mendapat hidayah, maka di mana-mana sahaja mereka akan menemui Islam agama fitrah ini. Menurut Nurul Iman sendiri , dia mendapat hidayah kerana beliau rajin membaca buku-buku Sirah Nubuwwah dan sMak Cik Hamidah pula mendapat hidayah apabila diuji dengan kesakitan kerana saka. Program tersebut berakhir dengan meninggalkan seribu satu kenangan kepada para delegasi kali ini.

Keesokan nya 4 Julai 2011, program seterusnya adalah lawatan rasmi ke Universiti Malaysia Sabah. Kami dimaklumkan universiti ini adalah Universiti yang terindah di Asia Tenggara. Masakan tidak, panorama tepi laut yang indah dan damai. Bermula dengan lawatan ke perpustakaan UMS yang sangat besar dan maklumat yang banyak serta ke Muzium Aquarium Marin yang menempatkan segala macam jenis ikan di dalamnya. Kemudian ke Canselori mereka yang di dalammya terdapat muzium UMS yang menempatkan sejarah penubuhan Universiti itu serta lawatan ke konti radio K.K FM iaitu salah satu stesen radio swasta yang terdapat di dalam UMS di mana juruhebah mereka juga terdiri daripada pelajar UMS sendiri. Walaupun kami tidak dapat bersiaran langsung seperti mana lawatan kami ke Batam, Indonesia, kami diberi peluang untuk merakam suara bagi ucapan sempena menyambut bulan Ramadhan. Juruhebah di sana sangat sporting dan terima kasih diucapkan kerana sudi menerima kunjungan kami ke situ. Ekspedisi diteruskan dengan melawat Yayasan Sabah iaitu antara pusat pentadbiran di negeri itu. Kami diberi penerangan mengenai fungsi Yayasan Sabah dan seterusnya ke Galeri Tun Mustapha iaitu tokoh perjuangan Sabah dan antara salah seorang pejuang agama Islam di bumi Sabah. Selepas itu kami berpeluang ke Restoran @tmosphere iaitu restoran berputar di bangunan Yayasan Sabah tersebut berada di tingkat 20++ sambil menikmati suasana Sabah dari bangunan pencakar langit. Selepas itu kami kembali ke Kolej Kediaman Kingfisher untuk berehat.

5 Julai 2011. EKspidisi diteruskan dengan melawat Kampung Tanjung Aru koTA Kinabalu yang mana perkampungan mereka terletak di atas laut. Apabila diperhatikan agak naïf juga kawasan tersebut dan kami dapat melihat perkampunagn mereka antara tempat tumpuan pelancong kerana terdapat di tengah-tengah perkampungan tersebut jeti untuk menuju ke tengah lautan. Serba serbi mereka lakukan di atas laut dan hampir penulis tidak faham keadaan kehidupan mereka.



6 Julai 2011. Lawatan ke USIA terpaksa dibatalkan kerana pihak mereka dikehendaki hadir ke Wacana Minda anjuran JAKIM cawangan Sabah. Kami juga berpeluang menyertai Seminar Wacana Minda tersebut yang bertajuk Ancaman Islam Liberal; ‘Realiti dan Solusi’ disampaikan oleh Prof Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris dari UTM , Johor. Sedikit sebanyak menambah ilmu penulis yang sedikit ini mengenai gerakan Islam Liberal. Menurut beliau terdapat dikalangan agamawan yang telah menulis buku bertajuk “Indahnya Kahwin Sesama Jenis”.Astagfirullahalazim. Itulah antara akibatnya apabila Al-Quran diterjemahkan mengikut tafsiran sendiri. Antara prinsip-prinsip Islam Liberal adalah rasionalisme, penolakan terhadap syariah,pluralism agama, penolakan terhadap autoriti keagamaan,kebebasan mentafsirkan teks-teks agama, mempromosi nilai-nilai Barat, emansipasi wanita dan sewaktu dengannya.

Tibalah masa untuk pulang ke Semenanjung di waktu malamnya, saat yang sukar untuk meninggalkan Sabah yang banyak memberi pengajaran kepada kami dan semestinya kenangan selama di sini tidak mudah untuk kami lupakan. Alhamdulillah, penulis redha dengan ketentuan Allah bahawa ada masalah dengan penerbangan pulang kerana tidak dapat turut serta dengan rakan seperjuangan yang lain ke Semenanjung. Saat-saat akhir itu, penulis merasakan ada satu hikmah dengan takdir ketentuannya, penulis sendiri dapat mengenali seorang insan yang sangat tabah dan kuat semangat dalam menempuh hari-hari mendatang. Penulis jadikannya sebagai inspirasi untuk terus berjaya dalam hidup dan mengecapi keredhaan di akhirat kelak. Semoga Allah sentiasa berada di sisinya dan mendapat rahmat dan kasih-sayangNya.Beruntunglah bagi mereka yang diuji..

"Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan,
tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku tiba-tiba,
Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam,
tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan itu belum pasti untuk selama-lamanya..."

Akhirnya, alhamdulillah penulis sampai ke bumi Perak dengan selamat walaupun berseorangan. Syukur Ya Rob.Mujur terjumpa insan yang berhati mulia membantu penulis membawa  ke stesen bas yang agak jauh apabila ditinggalkan di tepi highway kerana kesilapan maklumat mengenai bas yang dinaiki.  Hanya padaMu tempat aku kembali berserah segala urusan.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...